Sunday, May 3, 2009

Bacaan : Kepadamu putera puteriku

Buku ' Kepadamu Putera puteriku' merupakan penulisan yang baik untuk para remaja. Buku ini hasil karya Rohani Sheikh Omar. Apabila membaca buku ini seolah-olah kita sedang berbicara dengan ibu kita sendiri. Gaya bahasa seorang ibu terhadap anak amat memberi kesan kepada jiwa anak remaja. Namun begitu buku yang ringkas ini lebih sesuai dibaca dan dihayati oleh insan-insan yang masih dibangku sekolah ( awal remaja ). Ini merupakan pendapat peribadiku selepas membacanya. Ia sarat dengan pesanan dari seorang ibu yang amat memahami perjalanan hidup seorang anak remaja. Pembahagian bab antara putera dan puteri membuatkan setiap bicara ibu terarah dan berfokus kepada anak-anak ( putera atau puteri ) yang sedang mendengar nasihat ibunya. Bahasa yang digunakan juga mudah difahami dan mesejnya amat jelas. Oleh itu, sebagai anak remaja dengarlah pesanan ibumu pertahankan agamamu dan berpeganglah kepada al-quran dan as-sunnah bukan menjadikan gaya hidup barat sebagai ikutan.
Semoga ada yang berminat membaca buku ini terutamanya golongan awal remaja.
Kepada golongan remaja sekalian sedarlah bahawa kita adalah harapan agama, bangsa dan negara. Jatuh bangunnya generasi hadapan terletak pada generasi hari ini. Jika remaja pada hari ini telah rosak dan hancur maka bagaimana pula nasib generasi masa hadapan?? Tidak terfikirkah kita bahawa tanggungjawab kita bukannya mudah dan di bahu kita ada satu amanah. Amanah ini perlu dipikul dan digalasi dengan sebaik mungkin jika kita mahu generasi hadapan lebih baik daripada generasi kita. Sekiranya kita pada hari ini masih berpeluk tubuh dan leka dengan dunia masing-masing tanpa mahu memikirkan masalah yang melanda ummah maka siapakah lagi yang ingin kita harapkan untuk berjuang membela nasib generasi kita??
Ya memang benar ia bukan tugas yang mudah dan atas alasan " saya tidak layak, ilmu saya masih terlalu cetek" maka ramailah yang menjauh daripada memikul amanah ini. Kita harus sedar setiap antara kita bertanggungjawab membela agama dan mempertahankan kesuciannya. Janganlah kita cuba lepas tangan dengan alasan kita tak cukup ilmu kerana sampai bila-bila pun kita tak akan pernah merasai bahawa ilmu kita telah cukup. Ilmu Allah itu terlalu luas hinggakan tujuh lautan dijadikan dakwat pun belum pasti cukup untuk mencoretkan kesemua ilmu-ilmu tersebut. Marilah sama-sama kita fikirkan adakah kita telah gunakan masa, tenaga dan usia kita untuk berjuang membela agama???
Wahai generasi anak muda,
bangkitlah membela agama,
jangan kau terus leka,
segeralah mendaulatkan Islam semula..

No comments:

Post a Comment